.

PAPAN KENYATAAN




  • KULIAH FIQH PERUBATAN KALI KE-5

    Tarikh: Akan dimaklumkan (Sabtu)
    Masa: 2.30 - 4.30 petang
    Tempat: Dewan Kuliah Masjid Bukit Besar (Tingkat Bawah).

    Semua 'pelajar' dan yang berminat dijemput hadir.

  • NICE KALI KE-5
    Tarikh: 29 - 31/8/2013 (KHAMIS - SABTU)
    CHECK-IN: 12.00 TGH
    Tempat: SCOUT INN, TOK JEMBAL (SEBELAH AIRPORT)

    Semua peserta diminta mendaftarkan diri melalui PIC masing-masing.


  • KEMPEN 2K DISAMBUNG SEMULA
    Tarikh: JUN (JUMAAT)
    Masa: 8.30 - 11.30 PAGI
    Tempat: Akan dimaklumkan melalui whatsapp

    Semua petugas diminta bersedia.



  • Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)
  • Buku FIKAH PERUBATAN Telah berada di pasaran!

    Dapatkannya dengan harga istimewa melalui:
    1. Dr. Md. Arif (019-9258464)
    2. Dr. Wan Mohd Razin (013-9272125)
    3. Dr. Che Faridah (013-9735266)

Saturday, April 6, 2013

Kuliah Fiqh Perubatan Kali Ke-3

(Biro IT)

Sabtu, 6 April 2013 - Alhamdulillah Kuliah Fiqh Perubatan disambung hari ini dengan jayanya. Banyak isu menarik telah berjaya di kupas oleh Prof Madya Dr. Basri Ibrahim.

Kuliah disambung bermula dari tajuk tiga minggu lepas dan ditambah tajuk baru dari buku Kaedah-Kaedah Syarak Berkaitan Isu-Isu Perubatan.

Tajuk baru hari ini ialah ialah Tidak Ada Kemudharatan Dan Tidak Boleh Memudharatkan Orang Lain.

Banyak contoh-contoh jelas diambil dari kehidupan seharian seperti membuat rumah yang menghalang angin lalu ke rumah jiran, bolehkah seorang isteri membenarkan orang luar masuk ke rumah semasa ketiadaannya tetapi yang datang ialah ibubapanya, adik-beradiknya dan keluarga terdekat yang dikenalinya. Begitu juga persoalan-persoalan berkaitan susu ibu yang dikeluarkan melalui seorang wanita yang belum berkahwin dengan menggunakan hormon atas tujuan menyusukan anak angkat. Solat jumaat bagi seorang yang bermusafir dan berbagai persoalan yang berkaitan dengan perubatan juga dijelaskan.

Begitu banyak pengetahuan baru yang dijelaskan melalui fatwa-fatwa dan kajian-kajian ulama' kontemporari yang sangat relevan dengan kehidupan hari ini telah disentuh. Apa yang pasti, banyak keraguan telah berjaya dileraikan.



Jawatankuasa kuliah fiqh perubatan sangat mengalu-alukan kehadiran lebih ramai lagi peserta untuk sama-sama menimba ilmu yang sangat bermanfaat ini.



Wednesday, April 3, 2013

PARLIMEN DIBUBARKAN HARI INI!

Biro IT

Selamat Mengundi

Sejarah telah menunjukkan penggal parlimen paling lama iaitu melebihi 5 tahun sejak Malaysia merdeka... Namun itu tidak menjadi persoalan. Apa yang menjadi persoalan ialah manakah kerajaan pilihan anda pada PRU-13.

Pastinya Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri bagi menilai seseorang calon dan sesebuah parti bagi melaksanakan tanggungjawab pemerintahan.

Usul fiqh telah menyebutkan: "Tidak sempurna sesuatu yang wajib kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib".

Oleh itu, PAPISMA Terengganu menyeru sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, ayuh tunaikan kewajipan kita. Islam wajib ditegakkan, oleh itu pemerintah yang inginkan Islam wajib dipilih. Justeru memilih parti yang ingin menegakkan Islam adalah wajib dan mengundinya adalah wajib. Kerana tanpanya Islam dan keadilannya tidak dapat ditegakkan...

Selamat Mengundi.

Monday, April 1, 2013

KEMPEN 2K SMART PAPISMA CEMERLANG

(Biro IT)

Sepanjang bulan Mac 2013, SMART PAPISMA telah mengadakan Kempen 2K dengan cemerlang di seluruh negeri Terengganu. Dengan sokongan seluruh ahli-ahlinya yang bersemangat, setiap hujung minggu telah berjaya diisi dengan program yang bermanfaat untuk masyarakat. Kempen kesedaran secara statik, rawatan kesihatan percuma dan ziarah bakti kepada pesakit miskin dan uzur telah berjaya diadakan dengan jayanya.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat diambil sepanjang program.

Pesakit yang terlantar disantuni.
Tidak mengira bangsa dan agama, bakti terus disemai.
Kesibukan bukan penghalang...
Penat on-call diketepikan....
...meskipun rehat adalah hak yang boleh diambil....
....tetapi tanggungjawab lebih diutamakan.
Ubat dan rawatan tidak boleh dipisahkan....
... semua dilakukan dengan percuma...
... segala kos dan perbelanjaan ditanggung bersama.
Lelaki dan perempuan, berbeza bangsa dan agama...
... ketika sihat maupun senang....
.... kita tetap akan bersama sebagai rakyat bersaudara.
Uzur dan sakit, tidak mampu keluar rumah...
... mereka akan dikunjungi....
... demi meratakan khidmat yang dituntut agama.
Hari cuti yang boleh saja bersama keluarga... dikorbankan...
... demi amanah Allah dan keindahan syurga yang dijanjikan...

InsyaAllah, SMART PAPISMA akan terus beramal untuk masyarakat... nantikan gambar-gambar seterusnya nanti...

Sunday, March 17, 2013

Kuliah Fiqh Perubatan Kali Ke-2

Biro IT 

Kuliah Fiqh Perubatan kali ke-2 telah berjaya dianjurkan seperti biasa semalam di tempat yang sama. Kupasan yang diberikan oleh Al-Fadhil Ust. Dr. Basri Ibrahim sangat menarik merangkumi banyak aspek kehidupan bukan setakat berkaitan perubatan dan kesihatan. Beliau juga banyak memberikan kaedah-kaedah fiqh terhadap permasalahan semasa termasuk isu pencerobohan di Lahad Datu.


Ceramah yang disampaikan dengan penuh informasi dan diselang-seli oleh jenaka itu menjadikan para peserta tidak kering gusi pada waktu tengahari yang kebiasaannya amat sesuai untuk melelapkan mata.

Antara isu yang disentuh pada kali ini ialah asal hukum berubat dan bahan yang digunakan sebagai ubat adalah harus serta asal hukum yang memudaratkan adalah haram. Beliau juga menyentuh persoalan istihalah serta penggunaan bahan najis dalam ubat-ubatan dan bahan kegunaan harian, masalah pemindahan rahim, haid semasa mengandung, tayammum untuk masalah luka, jamak sebagai suatu sunah dan aplikasinya di dalam pekerjaan sebagai pegawai perubatan dan masalah kehidupan yang lain, kesilapan memahami hadis berkenaan habbatussawda' dan banyak lagi.

Semua persoalan para peserta telah dijawab dengan ringkas dan padat. InsyaAllah, pastinya para pelajar semua akan tertunggu-tunggu kuliah ke-3 akan datang yang akan dijadualkan pada 6 April 2013.

Bagi mereka yang belum pernah hadir, ayuh sertainya kerana kesempatan ini tidak selalu datang. Banyak persoalan yang kita boleh dikemukakan dan insyaAllah mudah-mudahan permasalahan fiqh dalam kehidupan kita tidak lagi menjadi beban. Apa yang penting kita semakin terasa bahawa Islam ini cukup indah dan mudah untuk diamalkan.

Saturday, March 16, 2013

Mengundi Dalam Islam - Satu Baiah Yang Wajib

(Muhammad Nuruddin Bashah)

Pendahuluan.

Menjelang pilihanraya, kedengaran terlalu banyak suara-suara yang mulai muncul setiap 5 tahun iaitu berkenaan hukum mengundi. Lebih malang sekali apabila ada segelintir pendakwah yang menjual beberapa ayat Al Quran yang menyatakan bahawa HARAM melantik golongan bukan Islam sebagai pemimpin dalam dewan Rakyat mahpun Dewan Undangan Negeri atas beberapa nas yang sahih kata mereka.

Kehebatan dan kejayaan agenda sekularis barat ialah mereka melatih dan mendidik segelintir masyarakat yang rakus berpolitik, berpaksikan asobiyyah dan nepotisme, mereka meratah hasil kekayaan di muka bumi tanahair yang dikongsi juga oleh masyarakat lain. Mereka bebas berpolitik dan rakyat menjadi seumpama `redha' dan hanya menerima kerosakan yang ada lantaran menyatakan ianya bukan urusan rakyat jelata.

Kelompok kedua yang dilatih oleh barat di bumi tinggalan penjajahan mereka ialah golongan ulama' yang tegar dengan normatif dalil Al Quran dan Hadis dan hanya mentafsir dalildalil ini hanya dalam ruang lingkup ilmiah dan hanya bernilai persejarahan semata-mata. Mereka berdakwah kononnya negara ini bukan negara diperintah ala khulafa' al rasyidin, maka jika diiltizami sistem pilihanraya dan sistem demokrasi kenegaraan, ianya bukan urusan agama. Inilah ulama' `sekular' yang alim lagi berdedikasi mendidik masyarakat yang bebal dengan `hak' mereka sendiri. Golongan jabariyyah akhirnya muncul apabila mereka berkata;

"Kalau setakat aku tak mengundi, apalah sangat yang akan mengubah keadaan politik? Bukan boleh buat masyarakat muslim pun kalau hanya dnegan mengundi dan hanya dengan wujud satu undi sahaja. Lebih baik, aku berdakwah, berbengkel dan berseminar sahaja kerana ia baru `turun ke akar umbi'. "

"Aku tak beriman dengan sistem demokrasi, jadi aku tak akan mengundi. Apa jadi pun, golongan mana memerintah sekalipun, itu bukan urusan aku, zaman sekarang memang zaman kerosakan umat. Cukup aku menjaga iman aku dan anak isteri semata-mata."

Ini hanya sekelumit hujah-hujah jabariyyah akhir zaman yang juga wujud di bumi Malaysia bermentaliti kelas pertama ini. Cukup dangkal dan menyedihkan.

Bolehkah kita mencalonkan diri untuk pilihanraya?

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah bersabda;

"Sesungguhnya kami tidak melantik bagi menangani urusan ini sesiapa yang memintanya ataupun berusaha memperolehinya" .

Prof Al Qaradhawi pernah memberi komentar berhubung masalah pencalonan wakil rakyat. Beliau berpendapat ianya bukan bermakna kita gilakan jawatan tertentu, sebaliknya wakil rakyat adalah hanya sebagai perwakilan daerahnya yang mana mereka berhak menjadi `check and balance' kepada pemerintah (Al Imarah). Mereka berhak menasihati gabenor atau menteri sekiranya berlaku kezaliman dan pemborosan. Mereka bukan termasuk dalam maksud hadis ini kerana mereka bukan meminta dicalonkan menjadi menteri. Sistem wakil rakyat adalah sistem
al a'fw yang dimaafkan dan bukannya disabitkan dengan sistem Al Imarah secara langsung. Mereka bertindak sebagai wakil suara rakyat. Jadi jelas memohon dan mencalon diri untuk pilihanraya adalah syari'y.

Hukum mengundi calon bukan Islam yang membantu golongan Islam atas dasar kebajikan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali* dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)-Nya. dan Hanya kepada Allah kembali (mu)." ( ali Imran: 28)

* Wali jamaknya auliyaa: berarti teman yang akrab, juga berarti
pemimpin, pelindung atau penolong.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali * dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu) ?" ( An Nisa': 144)

* wali jamaknya auliyaa: bererti teman yang akrab, juga bererti
pelindung atau penolong.

"Kabarkanlah kepada orang-orang munafik bahwa mereka akan mendapat siksaan yang pedih,
(yaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka Sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah." ( An Nisa' : 138-139)

"Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya."( Al Mujadalah: 22)

Perkataan 'wali' di dalam ayat-ayat di atas merujuk kepada penolong atau pemimpin yang membantu kita. Secara umumnya umat Islam dilarang memilih golongan bukan Islam yang memusuhi agama Islam. Hal ini kerana, sistem syariah Islam memiliki 5 maqasid (objektif) yang perlu dijagai;

Menjaga agama
Menjaga nyawa
Menjaga akal
Menjaga maruah
Menjaga harta benda.

Jika jelas golongan non-muslim itu menentang legitimasi sistem syariah, maka mereka perlu ditentang dan haram disokong. Berbeza hari ini, terdapat juga golongan sekular yang melabelkan diri mereka sebagai pejuang hak asasi yang juga memusuhi sistem syariah Islam. Walaupun mereka muslim hakikatnya mereka kufur dengan ayat-ayat Allah. Mereka juga haram disokong. Jika ada non-muslim yang sanggup berganding bahu menolong membawa kebajikan, tidak memusuhi sistem Islam, dalam masa yang sama kita menghormati agama mereka, dipersilakan melantik atau menyokong mereka dalam pilihanraya. Islam melarang kita berkasih-kasihan dengan golongan yang menentang sistem Islam. Pada zaman Rasulullah musuh Islam adalah munafiq ( golongan liberal/sekular hari ini) dan golongan Yahudi yang mana mereka adalah non-muslim yang memusuhi Islam. Adakah masyarakat Cina dan India di Malaysia memusuhi Islam seperti yahudi Khuzaah, Khaibar dan lain-lain? Jawapannya tidak.

Apa pendapat imam-imam besar tentang kepekaan masyarakat dengan pemerintahan?

Berkata Imam Ibnu Taimiyah dalam As-Siasah Syari'yyah[1] ,
"Wajib diketahui bahawa wilayah Al Nas (penguasaan politik) adalah antara kewajipan agama yang besar dan tidak mungkin agama dapat ditegakkan kecuali setelah tertegaknya ( penguasaan siasah/politik) ".

"Wajib memilih kepimpinan yang berteraskan agama dan dengan kepimpinannya ia akan hampir kepada Allah, menghampirkan diri kepada Allah dengan kepimpinan ialah taat dan patuh kepadaNYa dan rasul utusanNya manakala yag merosakkan kepimpinan ialah manusia mencari
JAWATAN dan kekayaan dengan kuasa yang berada ditangannya" .

"Politik dan kuasa adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah, jika sekiranya kuasa dipisahkan daripada agama atau agama dipisahkan daripada kuasa maka akan rosaklah sistem hidup manusia".

Ibnu Khaldun ( ulama' sirah, antropologi Islam) berkata,
"Adalah menjadi kewajipan bagi Allah untuk menentukan perjalanan politik (siasah) berdasarkan agama di dunia dan di akhirat kerana tujuan hidup manusia bukan di dunia semata-mata" . Beliau juga memberi makna Al Khalifah yang menjadi rujukan ulama' dengan kata ganti "Tuan Syariah" iaitu yang menjaga agama dan mengurus dunia dengannya. Kata ganti ini semakna dengan takrifan Imam Al Mawardi iaitu 'li hirosatud din' ( politik untuk menjaga agama)

Berdasarkan kata-kata sebahagia ulama' diatas, saya dapat mebuat sedikit kesimpulan bahawa POLITIK adalah untuk menjaga agama. POLITIK bukan sekadar kepartian yang diasaskan oleh barat. POLITIK bukan sekadar lambang keris, bulan bintang dan lambang roket. Itu hanya sekelumit daripada metodologi politik. Politik ialah alat untuk SYARIAH dinobatkan. Limpahan idea sekular telah membawa impak negatif kepada konotasi politik sehingga ada segelintir 'ahli amal islami' yang faham Islam dan perjuangan, mengambil sikap ANTI MENGUNDI dengan hujah ianya politik kotor. Inilah salah satu sikap SEKULAR !!!!!! yang bertopengkan gerakan sosial Islam, atau nama-nama Islam yang indah.

Keadilan WAJIB pada semua, politik Islam adalah medium terbaik !!

"Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan." ( Al Maidah: 8)

Allah memberi jaminan bahawa Islam adalah agama yang diiktiraf oleh-Nya. Keadilan kepada semua kaum adalah bergantung kepada wujudnya kuasa POLITIK ISLAM. Jika melaksanakan keadilan kepada kaum lain adalah WAJIB, maka berjuang untuk wujudnya politik Islam adalah WAJIB.

Mengundi Itu BAIAH yang WAJIB

Di sini tidak perlu saya huraikan sistem baiah dalam Islam kerana dalam beberapa risalah penulisan dan kertas kerja siasah saya, telah dihuraikan secara panjang lebar berkenaan institusi baiah yang wujud dalam kaedah pilihanraya negara ini. Akan tetapi sedarkah kita perkara al Imarah dan Al Imamah dan pemilihannya adalah tanggungjawab setiap insan yang mengaku syahadah kepada Allah dan RasulNya? Tahukah mereka bahawa betapa resahnya Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar tentang perwarisan kepimpinan Nabi selepas kewafatan baginda walaupun jasad belum dikebumikan lagi? Sedarkah mereka betapa dilemanya Muhajirin dan Ansar memutuskan pengganti Nabi lantaran masing masing takut dengan amanah kepimpinan walaupun tahu akan kewajipan memikir tentangnya?

Imam Mawardi berkata golongan yang tidak ada cakna dan peka dengan urusan al Imamah (kepimpinan sosial) adalah faudha' iaitu jahil dan sesat sesesatnya. Inilah golongan jabariyyah moden yang bertopengkan pakaian ulama' dan pakaian pendakwah yang moderat. Sungguh simplistik dan sekularnya idea sesetengah pihak yang enggan merasai keresahan sahabat ridhwanullah berkenaan apa yang berlaku pada hari ini. Enggan cakna dan peka dengan suasana fasad yang mencengkam negara ini dan berusaha merungkaikannya melalui pelbagai kaedah dan antara kaedah utama ialah melalui usaha politik.

Tahukah anda, walaupun kita meyakini calon pro keadilan dan pro syariah itu tidak akan menang dalam pilihanraya itu, kita tetap memiliki obligasi WAJIB untuk memberi baiah dan janji setia kepada al Imamah bercorak Islam walaupun hanya dengan satu undi yang tidak membawa kemenangan. Sedarkah kita konsep al falah ( kejayaan dalam Islam). Golongan faaiizun (yang menang) di akhirat adakalanya tidak menang di dunia. Mereka kalah dan terseksa di dunia. Dunia adalah penjara bagi mereka ( ad dunya sijnun a'la mu'min). Selemah-lemah iman kita dan keengganan kita kepada sekular, kezaliman dan penindasan adalah melalui baiah/undi yang kita beri. Ianya adalah syahadah kepada iman kita di akhirat.

Memberi baiah kepada politik Islam dan yang bertahaluf dengannya (bekerjasama dengan golongan Islam) adalah wajib dan bukan bererti kita diseru menyertai gerakan dan parti politik itu. Inilah salah konsep dan salah seru dikalangan pendakwah kita juga. Menyuruh berpolitik, diserunya kewajipan menyertai PAS atau KEADILAN. Kepada masyarakat umum, mereka wajib mengundi dan undi perlu diberikan kepada yang anti sekular, anti kezaliman, anti pemborosan dan anti korupsi. Ia bukan seruan untuk mengisi borang parti politik. Inilah hakikat Baiah Islam. Serulah rakan kalian untuk mengundi. Kerana undi itu athar ( tanda) adanya iman anda kepada sistem syariah yang syumul.

Penutup.

Apalah sangat usaha anda balik ke kampung untuk berbaiah berbanding dengan kesusahan anda di akhirat kelak apabila dipersoalkan berkenaan iman kita terhadap kesyumulan sistem Islam. Kita redha dengan kezaliman pemerintah dengan sikap mutaqaidun (berpeluk tubuh) kita. Sistem siasah Islam adalah sebahagian sistem syumulnya Islam. Dalam banyak buku buku Al Qaradhawi, Al Maududi, Mustafa Masyhur dan ramai lagi telah meletakkan bahawa POLITIK ISLAM ( siasah syariyyah) adalah sistem yang berasal dari tauhid uluhiyyah dan mulukiyyah kita kepada Allah. Lantaran itu Syed Qutb memberi amaran kepada individu yang anti siasah Islam sebagai golongan yang ingin mencabar tauhid Hakimiyyah Allah. Jauhkan diri kita dari termasuk di kalangan golongan ini.

[1] Imam Ibnu Taimiyyah, As Siasah Syariyyah Fi Islah Ar Rai' Wal
Ra'iyyah, 1978

Thursday, March 14, 2013

Kerajaan yang didirikan atas dasar bohong akan alami kehancuran

(Penulis Papisma)

Semakin hari kita melihat suasana Malaysia semakin mencemskan. Keadaan di Malaysia meskipun diberitakan sebagai antara negara yang paling aman di dunia, sangat menggerunkan kepada rakyatnya sendiri. Kalau dibandingkan dengan negara Israel yang maha zalim itu, kerajaan mereka sangat membela rakyatnya. Sanggup menggadaikan nyawa anggota keselamatannya demi nyawa seorang rakyat biasa. Tetapi isu Lahad Datu hari ini seolah-olah pasukan keselamatan dan rakyat sendiri telah menjadi  mangsa korban.

Isu ini bukan isu politik. Papisma juga tidak berminat untuk terlibat dengan mainan politik. Namun isu ini merentasi sempadan politik. Ini isu keselamatan dan isu kemanusiaan.

Kenapa saya mengatakan pasukan keselamatan dan rakyat sendiri menjadi mangsa korban? Ini kerana banyak keraguan dan bukti seolah-olah isu ini hanya isu yang diada-adakan menjelang pilihanraya untuk mengalih perhatian terhadap isu besar iaitu isu pemberian kad pengenalan percuma kepada warga asing di Sabah yang berlaku pada tahun 1990-an. Isu pemberian IC ini terlalu jelas termasuk kemenangan petisyen pilihanraya kecil Likas pada tahun 1999 yang membatalkan kemenangan BN. Oleh kerana banyak juga keraguan dan mengaitkan isu Lahad Datu ini sebagai isu rekaan, ertinya selagi pihak kerajaan tidak menjawab isu ini dengan telus dan berintegriti, anggapan bahawa rakyat Malaysia yang terkorban dalam kes itu adalah kerana digadaikan oleh pihak kerajaan adalah suatu yang berasas.


Banyak perkara yang meragukan masih belum dijelaskan oleh kerajaan. Perkara yang meragukan ini semakin mengelirukan apabila dilihat kembali sejarah bahawa kerajaan Malaysia telah mendakwa bahawa peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985 itu adalah isu penderhakaan kepada negara. Akhirnya kerajaan menumpahkan darah rakyatnya sendiri. Kira-kira 3500 anggota keselamatan telah menyerang Kampung Memali sehingga mengorbankan 14 orang penduduk kampung termasuk pemimpinnya Ust. Ibrahim b. Mahmud (Ust. Ibrahim Libya). Namun sehingga hari ini kerajaan tidak dapat membuktikan bahawa mereka adalah penderhaka lebih-lebih lagi Sultan Kedah yang masih memerintah sehingga hari ini telah berkenan mencemar duli menziarahi pusaranya.

Begitu juga isu rompakan bersenjata kumpulan Al-Maunah di Sauk, Gerik pada tahun 2000 dahulu. Cukup mengelirukan dan tidak difahami oleh ramai rakyat Malaysia. Para pesalahnya ada yang dikenakan hukuman gantung sampai mati dan sebahagian besarnya pula dipenjarakan sepanjang hayat. Namun bukti rompakan sangat kabur dan tidak mudah diterima akal.

Kini peristiwa Lahad Datu pula berlaku dengan penuh teka-teki yang sukar difahami. Sehingga hari ini telah mengorbankan 10 orang anggota keselamatan dan tragedi ini masih belum berakhir. Kerajaan masih berahsia meskipun Dato' Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia telahpun melawat ke tempat kejadian. Suatu perkara yang jarang-jarang berlaku di mana seorang Perdana Menteri telah pergi ke tempat pergolakan ketika ia sedang bergolak. Seharusnya seorang PM hanya perlu datang ketika semua telah selesai dan aman.

Semua persoalan berkaitan isu keselamatan masih belum dijelaskan dengan telus dan berintegriti. Sejarah telah merakamkan segalanya dan dapat dibaca oleh generasi kini dan akan datang.

Isu keselamatan adalah isu utama sesebuah negara. Jika negara tidak selamat, bermakna ia tidak sesuai untuk diduduki. Jika sebuah kerajaan gagal menjamin keselamatn negaranya, maka menjadi tanggungjawab rakyat menukar kerajaan yang ada.

Masih banyak isu-isu yang melanda negara yang Papisma sendiri menunggu jawapannya. Isu kehilangan dua buah enjin jet F-5E yang bernilai RM300,000 sebuah semasa di dalam kawalan keselamatan, isu rasuah kapal selam Scorpene dan kematian model Mongolia, Altantuya Sharibuu yang kini menjadi hangat kembali dengan kehadiran semula PI Balasubramaniam dan Deepak Jaikishan yang dikaitkan dengan PM. Isu dakwaan konspirasi Liwat II yang melibatkan Anwar Ibrahim yang juga dikaitkan dengan PM dan berbagai-bagai isu lagi. Ini semua sangat mencemaskan.

Setakat manakah kerajaan melakukan pembersihan terhadap aduan yang lengkap dengan bukti-bukti itu? Apakah si pengadu yang berniat jahat atau kerajaan yang berbohong? Ironinya jika pengadu yang berniat jahat, mengapa belum ada pengadu yang dipenjarakan kerana membuat dakwaan palsu?

Apabila PM dikaitkan, ia merupakan isu yang sangat berat. Rakyat perlu mendapat penjelasan segera apatah lagi PRU sudah hampir untuk berlangsung. Rakyat perlu memilih siapakah yang paling sesuai untuk menjadi pemerintah yang boleh dijadikan tempat berlindung. Papisma berharap tidak berlaku lagi penyelewengan fakta sebagaimana isu Memali dan lain-lain isu kerana negara yang terbina atas asas pembohongan pasti akan menuju kehancuran.


Justeru sebarang dakwaan dan isu yang dikaitkan dengan kerajaan, rakyat ingin melihat kerajaan membersihkan namanya. Bukan membuat penafian di televisyen dan akhbar semata-mata tanpa mengemukakan bukti yang jelas dan telus. Kami sayangkan kerajaan yang bersih dan beramanah.

Thursday, February 21, 2013

Kelas Fiqh Perubatan Bermula

BIRO IT 

Kuala Terengganu, Sabtu, 16 Feb 2013 - Satu lagi sejarah dicipta oleh PAPISMA Terengganu apabila berjaya menganjurkan Kuliah Fiqh Perubatan di sini bermula hari ini.

Kuliah ini merupakan kuliah bersiri setiap Sabtu, 3 minggu sekali bermula pukul 2.30 - 3.30 petang bertempat di dewan kuliah Masjid Bukit Besar, Pasir Panjang Kuala Terengganu. Tenaga pengajarnya ialah pensyarah yang tidak asing lagi iaitu Prof Madya Dr. Basri Ibrahim, pensyarah UNISZA.

Kuliah kali pertama ini telah berjaya menarik seramai 21 orang peserta terdiri dari ahli-ahli PAPISMA dan bukan ahli. Pendaftaran sebanyak RM50.00 dikenakan sekali sahaja dengan dibekalkan sebuah buku yang akan dijadikan teks kuliah iaitu Kaedah-Kaedah Syarak Berkaitan Isu-Isu Perubatan. Buku ini merupakan tulisan seorang ulama terkenal yang diterjemahkan oleh Prof Madya Dr. Basri Ibrahim sendiri.

Kuliah yang menyentuh pelbagai isu fiqh kontemporari itu disampaikan dengan cara yang sungguh menarik diselang-seli dengan jenaka yang menghiburkan. Mudah-mudahan dari masa ke semasa penyertaan akan bertambah insyaAllah.

Buku teks Kuliah Fiqh Perubatan
Khusyuk - Para peserta sedang khusyuk memberikan tumpuan.
Dr. Wan Razin sedang menyampaikan ucapan aluan.
Sebahagian peserta yang kelihatan cukup bersemangat untuk
menuntut ilmu.

Monday, February 18, 2013

Malam Muhibah PAPISMA Terengganu Meriah

Biro IT 

14 Februari 2013, Kuala Terengganu - Hari ini merupakan hari bersejarah apabila PAPISMA Terengganu berjaya menganjurkan Malam Muhibah kali pertama di Kg. Durian Mas, Manir. Program yang bertujuan untuk meraikan ahli-ahli baru di samping merapatkan ukhuwah itu telah mendapat sambutan yang di luar dugaan oleh ahli-ahli PAPISMA di seluruh negeri Terengganu iaitu seramai 72 orang dewasa dan 35 kanak-kanak.

Majlis yang diadakan di Dewan Walit di perkarangan rumah Dr. Roslan dan Dr. Zaihan bermula dengan solat Maghrib secara berjamaah yang diimami oleh Dr. Wan Mohd Razin, Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu. Sesudah solat diadakan bacaan zikir Al-Ma'thurat yang juga dipimpin oleh Dr. Wan Mohd Razin, dan seterusnya tazkirah disampaikan oleh Dr. Md Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu yang bertajuk Nilai Persahabatan Dalam Islam.

Kemudian para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjamaah dengan diimami oleh Dr. Suhazeli Abdullah, Mantan Presiden PAPISMA. Sesudah solat Isyak berjemaah, hadirin menunaikan pula solat hajat.

Sesudah solat para hadirin dipersilakan menjamu selera dengan hidangan nasi arab dan berbagai juadah pencuci mulut seperti buah-buahan, puding susu, kek coklat dan berbagai-bagai lagi. Sambil makan para peserta dihidangkan dengan hiburan secara bersahaja oleh DJ terkenal PAPISMA Terengganu iaitu Dr. Tuan Fairuz Tuan Ismail, mantan Ketua GMP (Generasi Muda PAPISMA).

Sesudah menjamu selera cabutan bertuah diadakan. Sebanyak 6 buah buku sumbangan Kedai Buku PAPISMA iaitu kedai yang dikendalikan sendiri oleh beliau. Seterusnya pemberian hadiah saguhati kepada ahli-ahli dan ahli bersekutu dilakukan.

Pada majlis tersebut, sebuah buku My Usrah juga dijual iaitu jualan sambil menderma kepada tabung PAPISMA Terengganu. Buku hasil sumbangan idea seorang bakal ahli PAPISMA yang kini sedang menuntut di USIM.

Majlis telah diakhiri dengan selawat beramai-ramai sambil bersalaman dan berpelukan tanda kasih sayang kerana Allah.

Dr. Wan Razin sedang mengetuai bacaan zikir Al-Ma'thurat.
 
Para hadirin bersama-sama mengalunkan zikir dengan penuh khusyuk.
....
Dr. Md Arif Ibrahim sedang menyampaikan tazkirah.

Hadirin cukup terhtarik dan terhibur dengan tazkirah yang disampaikan.
Selesai solat Isyak dan Hajat secara berjemaah, hadirin menjamu selera.
Makan secara bebas...
Sambil makan sambil bertanya khabar. Maklumlah lama tak berjumpa.
Muslimat sedang beratur untuk mengambil makanan di bahagian muslimat.
Muslimin juga beratur dengan panjang.
Lama tak makan bersama pada majlis yang santai....
Jom Nasi Arab - Dr. Tuan Fairuz dengan pos tersendiri.
Peserta pertama - Dr. Termizy penerima saguhati pertama malam ini
kerana beliau akan bertolak balik ke Kelantan. Saguhati berupa
sekaki payung yang berwarna-warni dengan cop "PAPISMA Terengganu".
DJ terpaksa berkejar ke sana ke mari untuk mengendalikan program.
Giliran kanak-kanak menerima saguhati.
Kak Han tidak menang tangan mengagihkan cenderahati kepada anak-
anak yang bermacam ragam.
Nah! Ambik adik ya... anak-anak yang masih didukungan ibunya, yang
masih belajar merangkak, yang masih belum boleh berkata-kata...
semuanya disantuni dan diberikan hadiah.
Jom ke usrah! - Dr. Suhazeli sedang mempromosikan buku My Usrah.
Membeli sambil menderma.
Memotong kek harijadi - mereka yang kebetulan dilahirkan pada bulan
Februari telah diraikan.
MA Johari sedang menerima cabutan bertuah sumbangan Kedai Buku
Amalmedik.
Ahli-ahli muslimat tidak ada yang tertinggal untuk menerima saguhati.
Mr. Husain juga bertuah pada malam ini kerana menerima hadiah
cabutan bertuah.
Hadiah Perkahwinan - suami Dr. Hidayati sedang menerima hadiah
perkahwinan daripada PAPISMA Terengganu.
Dr. Farizi juga menerima hadiah perkahwinan.
Berpelukan sambil berselawat mengakhiri program Malah Muhibah.
Mudah-mudahan natijah kepada program ini akan membangkitkan semangat bekerja di kalangan ahli-ahli PAPISMA Terengganu. Insya Allah ini bukan kali terakhir program seumpama ini diadakan. Majlis telah berakhir kira-kira pukul 11.30 malam.